Salam ziarah buat semua sahabat-sahabat seperjuangan. Moga-moga dengan sedikit perkongsian ini, akan mengeratkan lagi ukhuwah kita. InsyaALLAH.Jiwa umat Islam tidak harus kecewa menyaksikan kekalahan. Biarkan kekalahan menjadi penggerak perjuangan, bukan kemenangan yang kita hendak, tapi kebenaran yang kita tuntut.

Tuesday, January 12, 2010

Salah ke buat kerja amal???



“Dan bagi tiap-tiap umat ada kiblatnya (sendiri) yang ia menghadap kepadanya. Maka berlumba-lumbalah (dalam membuat) kebaikan. Di mana saja kamu berada pasti Allah akan mengumpulkan kamu sekalian (pada hari kiamat). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.”
(Al-Baqarah 2: 148)

Berusaha melakukan kebajikan dan tolong-menolong adalah perkara yang digalakkan dalam islam. Perintah berlumba-lumba dalam kebajikan merupakan perintah tambahan bagi melaksanakan kebajikan. Umat Islam seharusnya berlumba-lumba dalam mengerjakan perintah tersebut dengan sesempurna mungkin dan melaksanakannya dalam segala keadaan dan bersegera kepada-Nya. Firman Allah s.w.t yang bermaksud

“ Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa ( maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya.”
( Surah Al-Ma’idah : 2 )

Banyak perkara kebajikan yang boleh dilakukan antaranya ialah membantu derma untuk anak yatim, membantu mangsa bencana, dan pelbagai lagi. Namun dalam mana mengerjakan kerja amal tersebut, terdapat satu perkara penting yang perlu diambil perhatian iaitu keikhlasan hati. Hati yang ikhlas tanpa mengharap sebarang penghargaan, akan mendapat keredhaan dan rahmat Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t dalam Surah Fathir yang bermaksud;

“sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca kitab Allah dan tetap mendirikan sembagyang serta mendermakan daripada apa yang kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka, mereka ( dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian; supaya Allah menyempurnakan pahala mereka dan menambahi mereka daripada limpah kurniaNya. Sesugguhnya Allah Maha Pengampun lagi sentiasa membalas dengan sebaik-baiknya ( akan orang-orang yang bersyukur kepadaNya ).”
( Surah Fathir : 29-30 )

Namun dalam mana kita sibuk mengerjakan kerja amal, hendaklah dipastikan supaya derma yang dikutip itu diperolehi dari sumber yang halal. Sumber yang halal merupakan satu aspek yang cukup-cukup penting. Kehalalan suatu sumber itu menjamin kerahmatan daripada Allah dan mengelakkan kemurkaanNya. Baginda s.a.w telah bersabda yang bermaksud;

“sesungguhnya Allah Ta’ala itu baik, Dia tidak terima melainkan yang baik.”
( Hadis Riwayat Muslim )

Perkataan ‘amal’ itu berasal daripada perkataan Arab iaitu yang bermaksud ‘perbuatan’ atau ‘kerja’ . perkataan ini akhirnya lumrah digunakan dalam bahasa melayu yang memberi erti kerja-kerja kebajikan. Menurut kamus Dewan, amal itu diertikan sebagai perbuatan baik yang mendatangkan faedah kepada orang lain. Bersedekah ialah satu daripada amal kebajikan. Amal jariah pula diertikan sebagai perbuatan yang diredhai Allah untuk kepentingan atau faedah masyarakat seperti berderma, menolong orang dalam kesusahan dan lain-lain.

Daripada pengertian di atas, rata-rata masyarakat berfahaman bahawa apa jua kerja-kerja amal itu tersurat di dalamnya niat untuk mendapatkan ganjaran pahala daripada Allah s.w.t.Di akhir-akhir ini, telah timbul kecenderungan dan semangat yang tinggi daripada berbagai pihak yang ingin membuat kerja-kerja amal bagi menggalakkan orang ramai terlibat sama melakukannya. Berbagai aktiviti telah dirancang seperti larian amal, pertunjukan amal, nyayian amal,konsert amal dan sebagainya dengan harapan sumbangan kerja itu mendapat ganjaran pahala daripada Allah s.w.t.

Dalam membuat kerja amal, hendaklah dipastikan kerja amal tersebut tidak bercampur dengan perkara-perkara yang telah dilarang oleh syara’ dan bebas daripada perkara-perkara syubhah. Perkara kebajikan yang mempunyai unsur yang dilarang oleh Allah s.w.t akan membawa kepada kemurkaanNya walaupun objektif program tersebut untuk mengutip derma untuk orang didalam kesusahan. Firman Allah s.w.t dalam Surah al-Baqarah yang bermaksud ;

“Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah ( pada jalan Allah ) sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian daripada apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah maha kaya lagi Maha Terpuji.”
(Surah al-baqarah :267)

Derma yang sebenar itu ialah dikeluarkan semata-mata mengharapkan keredhaan Allah bukan kerana lain-lain atau perkara-perkara sampingan. Inilah konsep derma yang sebenar mengikut Islam. Firman Allah s.w.t yang bermaksud;

“Dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredaan Allah dan apa jua yang kamu dermakan daripada harta yang halal, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu, dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurangkannya.”
(Surah al-Baqarah : 272)

Moga-moga kita tergolong di dalam kalangan yang mengikut konsep derma yang sebenar dalam Islam. Insyaallah.

Sekadar perkongsian. Wallahu’alam.


0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails