Salam ziarah buat semua sahabat-sahabat seperjuangan. Moga-moga dengan sedikit perkongsian ini, akan mengeratkan lagi ukhuwah kita. InsyaALLAH.Jiwa umat Islam tidak harus kecewa menyaksikan kekalahan. Biarkan kekalahan menjadi penggerak perjuangan, bukan kemenangan yang kita hendak, tapi kebenaran yang kita tuntut.

Sunday, March 21, 2010

Umat sekarang malu tidak bertempat



DARIPADA Abu Said al-Khudri, katanya: “Rasulullah SAW ialah seorang yang sangat pemalu, lebih pemalu daripada gadis pingitan. Apabila Baginda tidak menyenangi sesuatu, kami dapat mengetahuinya daripada wajah Baginda.”

Nabi Muhammad bersabda bermaksud: “Iman itu mempunyai tujuh puluh cabang atau enam puluh cabang, maka yang paling utama adalah ucapan Laa ilaha illallah (Tidak ada Tuhan yang sebenarnya melainkan Allah) dan yang paling rendah adalah membuang duri dari jalan dan sifat malu adalah satu cabang daripada iman.” (Al- Baihaqi)

Dalam perjalanan manusia sebagai hamba untuk mendekatkan diri kepada-Nya, ‘rasa malu’ adalah tangga yang pertama.

Maka, masih sangat jauh sebenarnya kita daripada kewujudan rasa cinta kepada Allah.

Rasulullah sekalipun mempunyai rasa malu terhadap Allah. Hal itu terserlah dalam kisah Mikraj Baginda iaitu pada saat Rasulullah menerima perintah secara langsung agar umatnya mengerjakan solat.

Pada peringkat awalnya, Allah memerintahkan solat sebanyak 50 kali sehari. Baginda menyanggupinya, namun nabi dan rasul lain yang ditemui dalam perjalanan Mikraj itu menasihatkan bahawa tugas itu terlalu berat bagi umat Muhammad SAW.

Lantas Baginda meminta keringanan hingga bilangan solat dikurangkan kepada lima kali sehari. Saat itu, Baginda diingatkan sekali lagi bahawa solat lima kali sehari pun masih terlampau berat. Namun, Baginda berasa amat malu untuk kembali meminta keringanan daripada Allah. Inilah contoh sifat malu yang ada pada diri Baginda.

Malu untuk mengurangkan nilai pengabdian seorang hamba terhadap Tuhannya. Namun, kita selaku umatnya tidak pula mempunyai rasa malu mengabaikan perintah solat dan ibadah lain.

Begitulah manusia, lazimnya hanya malu untuk urusan duniawi di hadapan manusia, bukan urusan keakhiratan di hadapan Tuhan.

Kita tidak malu dengan dosa berbukit yang pernah dilakukan. Malah, mungkin tidak pernah terdetik rasa enggan untuk bertemu Allah, lantaran malu di atas segala kejahatan yang dilakukan yang tidak pernah luput daripada penglihatan-Nya.

Sesungguhnya kita benar-benar tidak tahu malu. Abdullah Ibn Mas’ud meriwayatkan bahawa Nabi bersabda: “Orang yang malu kepada Allah dengan sepenuh malu ialah orang yang menjaga kepalanya dari isinya, menjaga perutnya dari segala rezeki tidak halal, selalu mengingati kematian, meninggalkan kemewahan dunia dan menjadikan perbuatan akhirat sebagai hal yang lebih utama. Sesiapa yang melakukan semua itu, maka dia telah malu kepada Allah dengan sepenuh malu.”

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails